Wednesday, December 14, 2011

MC nak sakit ke MC ape ni?

semalam ada hari inovasi..saya telah diberi kepercayaan untuk menjadi mc..MC bukan Medical Cert ya..tapi Master Ceremony yek hehe
saya seronok sebab dapat peluang sebegini..syukur...dulu masa saya awal2 di sini, tak dapat peluang sebab ada yg lebih baik dari saya ..saya anggap itu sebagai masa saya untuk membina diri saya menjadi mc yg baik sehinggala saya dapat peluang utk jadi mc..alhamdulillah....moral of the story...bersabar ya..

saya nak kongsi teks tak seberapa yg saya buat..teks ni dibuat sebelum majlis dan bila dah harinya berlangsung, macam2 perubahan berlaku..so sebagai mc, kena bersedia dengan sebarang perubahan ya..

majlis ini ada masanya formal dan separa formal..

Mohon perhatian, majlis akan dimulakan sebentar lagi.
Para hadirin adalah dipohon untuk berdiri semasa Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri 2 memasuki dewan dan majlis akan dimulakan dengan lagu Negaraku,lagu Negeri Kita, lagu Bersatu Untuk Kebajikan dan lagu Malaysia Inovatif. Terima kasih
--------------------------------- $$----------------------------------------------------------
Mengumumkan ketibaan Yang Berhormat Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri 2 Negeri Pulau Pinang.

Hadirin sekalian, marilah sama-sama kita nyanyikan lagu Negaraku, Lagu Negeri Kita, Lagu Bersatu Untuk Kebajikan dan Lagu Malaysia Inovatif.

(setelah lagu selesai) Para hadirin dipersilakan duduk.

Petang yang indah penuh ceriaHari yang berbahagia penuh bermakna
Kami bawakan kepada anda Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri 2 Negeri Pulau Pinang
Yang Berusaha Encik Zulkifli bin Ismail
Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang
Para Pegawai dan seluruh Anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang yang dihormati sekalian.

Majlis mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran para hadirin ke Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang
Sirih berlipat sirih pinangSirih dari Pulau MutiaraPemanis kata selamat datangAwal BismilLah pembuka bicara


Sarung ketupat berisi inti
Dibawa budak sambil berlari
Kehadiran semua sangat dihargai
Moga Majlis bertambah seri

Terlebih dahulu majlis mengucapkan terima kasih kepada kumpulan koir Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah, yang telah memimpin nyanyian lagu sebentar tadi. Kumpulan ini telah dipimpin oleh Encik Mohd Rashwan bin Klawan.

Untuk makluman Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri 2 dan para hadirin sekalian,
Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang diadakan bagi menyahut saranan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri agar satu pembaharuan dilakukan supaya sistem penyampaian perkhidmatan dalam perkhidmatan awam adalah lebih cekap, inovatif , pantas dan berkesan.
Selain itu, sambutan tahunan ini adalah sebagai penghargaan kepada komitmen anggota kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan seiring dengan tuntutan dan ekspektasi pelanggan masakini.

Bagi memberkati Majlis kita pada petang ini, majlis dengan segala hormatnya menjemput ustaz Mohd Sofian bin Abu Bakar dari Asrama Paya Terubong untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan.
Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Ustaz Mohd Sofian bin Abu Bakar diatas bacaan doa itu tadi.

Para hadirin yang dihormati sekalian,
Tak molek jika ada alu tiada lesungnyaTak berguna jika ada dayung tiada perahunyaMaka Tak lengkaplah Majlis jika tiada yang berbicara.
Dengan ini,majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berusaha Encik Zulkifli bin Ismail untuk menyampaikan ucapan aluan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
Terima kasih diucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengarah di atas ucapan aluannya itu tadi.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Majlis diteruskan dengan mempersilakan Yang Berhormat Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri 2 Negeri Pulau Pinang untuk menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.

Majlis merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri 2 Negeri Pulau Pinang di atas ucapan perasmian sebentar tadi. Dengan ucapan perasmian itu tadi maka rasmilah sudah Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2011.

Para hadirin yang dihormati sekalian, majlis akan diteruskan dengan upacara Bacaan Ikrar. Untuk itu, majlis mempersilakan Encik Azlan bin Khamis untuk memimpin bacaan ikrar. Para hadirin diminta berdiri.
(setelah selesai)
Para hadirin dipersilakan duduk.

Majlis mengucapkan terima kasih kepada Encik Azlan bin Khamis di atas pimpinan bacaan ikrar itu tadi. Hadirin yang dihormati sekalian, seterusnya sama-sama kita saksikan tayangan slide preview Inovasi, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang 2011.
(tayangan selesai)
Untuk makluman Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri 2 Negeri Pulau Pinang dan hadirin sekalian, pada November lepas, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang telah diumumkan sebagai Johan Keseluruhan Pertandingan Inovasi peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.
Sebagai tanda penghargaan, majlis dengan segala sukacitanya menjemput Yang Berusaha Encik Zulkifli bin Ismail, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang bagi mengiringi Yang Berhormat Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri 2 Negeri Pulau Pinang untuk menyampaikan sijil penghargaan. Dipersilakan.
(bila stage telah sedia)
Pertama, Bagi Kategori Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, dijemput wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang.
Bagi Kategori Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah , dijemput PKMD Timur Laut
Seterusnya, bagi Kategori Pengurusan Kewangan, dijemput JKMN Pulau Pinang
Keempat : Kategori Institusi, dijemput Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti
Kelima bagi Kategori Edible Garden, dijemput Asrama Akhlak Paya Terubong
Seterusnya, bagi Kategori Kumpulan Inovatif dan Kreatif, dijemput PKMD SPU
Kategori Ketujuh ialah Kategori Inovasi, dijemput
PKMD SPT
PKMD SPS
PKMD BD

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri 2 Negeri Pulau Pinang di atas penyampaian sijil penghargaan itu tadi. Seterusnya, sebagai tanda penghargaan, majlis dengan sukacitanya mempersilakan, Yang Berusaha Encik Zulkifli bin Ismail untuk menyampaikan cenderamata kepada Yang berhormat Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri 2 Negeri Pulau Pinang.

Tetamu kehormat dan para hadirin yang dihormati sekalian, Majlis menjemput para hadirin untuk menjamu selera. Sambil menjamu selera, para hadirin akan dihiburkan dengan persembahan daripada wakil setiap Pejabat Kebajikan, JKM Negeri dan Institusi. Majlis juga akan diselangi dengan penyampaian anugerah dan juga cabutan bertuah. Suka untuk kami maklumkan di sini bahawa para hadirin adalah juri kepada semua persembahan. Persembahan Terbaik akan dinilai melalui undian tetamu dan para hadirin diminta mengisi borang undian yang disediakan di meja masing-masing.

Beberapa saat...
Bagi menghiburkan kita semua, dipersilakan persembahan pertama daripada Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti yang akan mempersembahkan tarian bertajuk ‘..................................................’.Dipersilakan!
Begitulah tadi persembahan tarian yg mengasyikkan daripada Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti. Seterusnya, bagi persembahan kedua, kita saksikan kehebatan anggota Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Timur Laut untuk mempersembahkan teater muzikal bertajuk ‘.........................................................................’ .Dipersilakan!
Hebat ya persembahan PKMDTL itu tadi. Baik, di tangan para hadirin sudah tentu ada nombor cabutan bertuah masing-masing ya. Bolehlah semak nombor bertuah anda. Untuk cabutan bertuah edisi pertama ini, dijemput Encik Junaidi bin Ayob, Penolong Pengarah Kanan Unit Ekonomi dan Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang untuk membuat cabutan. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.
(Mc umumkan cabutan bertuah dan jemput pemenang.)
Terima kasih diucapkan kepada En. Junaidi di atas penyampaian hadiah cabutan bertuah itu tadi.

Para hadirin sekalian, marilah kita berhibur lagi dengan bakat-bakat terbaik rakan-rakan kita. Nampaknya kita boleh namakan sebagai Akademi Fantasia JKM Pulau Pinang ya. Kali ini, kita akan saksikan persembahan ketiga daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Utara, yang akan mempertaruhkan kumpulan dikir barat mereka. Dipersilakan!
Begitulah tadi persembahan dikir barat yang menarik daripada PKMDSPU..

Alert TKM2 meninggalkan majlis.

Para hadirin sekalian, mengumumkan, Yang Berhormat Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy ,Timbalan Ketua Menteri 2 Negeri Pulau Pinang akan meninggalkan majlis.
Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Prof. Dr. di atas kesudian beliau untuk hadir dan bersama-sama anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang pada majlis ini. Semoga berjumpa lagi pada kesempatan yang lain.
Para hadirin sekalian, majlis akan diteruskan dengan upacara penyampaian Anugerah Khidmat Terpuji. Untuk makluman para hadirin, seramai 21 anggota telah terpilih sebagai penerima anugerah ini. Bagi menyempurnakan penyampaian pertama, dijemput Timbalan Pengarah 2 Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Puan Nor Asikin binti Ibrahim untuk menyampaikan anugerah.

Penerima pertama Anugerah Khidmat Terpuji ialah ..............................................................
Mc sebut nama yang dipaparkan di layar....( 1-10 orang penerima)
Majlis mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Puan Timbalan Pengarah 2 di atas penyampaian tersebut.

Para hadirin sekalian,
Kita tingkatkan lagi termometer hiburan tuan-tuan dan puan-puan semua dengan menyaksikan persembahan keempat iaitu bakat lakonan daripada anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang. Lakonan mereka bertajuk ‘.................................................’. Dipersilakan!
Begitulah tadi persembahan daripada anggota JKMNPP. Berbakat sungguh anggota jabatan kita kan..

Kita teruskan lagi majlis dengan cabutan bertuah. Kali ini, majlis dengan sukacitanya menjemput Puan Fairus binti Bahari, Pengetua Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti untuk membuat 5 cabutan nombor bertuah. Dipersilakan.
(Mc umumkan cabutan bertuah dan jemput pemenang.)
Terima kasih diucapkan kepada Puan Fairus di atas penyampaian hadiah cabutan bertuah itu tadi.

Hadirin sekalian, sambil menjamu selera, kita kembali ke persembahan Hari Inovasi a.k.a Akademi Fantasia JKM Pulau Pinang pula. Anda akan dihiburkan dengan persembahan kelima daripada anggota Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Selatan. Persembahan ini memang sinonim dengan orang Pulau Pinang. Saksikanlah persembahan boria PKMD SPS! Dipersilakan.

Hadirin sekalian, begitulah hebatnya persembahan boria PKMDSPS itu tadi. Jangan lupa undian anda menentukan kedudukan mereka ya..Baik, hadirin sekalian, dikir barat sudah, boria pon sudah..Kini tiba masa untuk persembahan keenam, nikmati bait-bait puitis deklamasi sajak daripada anggota Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Barat Daya. Dipersilakan!
Sungguh puitis sekali sajak daripada PKMD Barat Daya itu tadi..jangan lupa untuk mengundi ya!

Hadirin sekalian, majlis diteruskan dengan Penyampaian Anugerah Khidmat Terpuji. Majlis dengan sukacitanya menjemput Yang Berbahagia Encik Shaballah bin Zainal Abidin , Timbalan Pengarah 1 Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang untuk menyampaikan anugerah kepada penerima. Dipersilakan.
Penerima Anugerah Khidmat Terpuji ialah ..............................................................
Mc sebut nama yang dipaparkan di layar....( 11-21 orang penerima)
Majlis mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Encik Shaballah di atas penyampaian tersebut.

Hadirin yang dihormati sekalian, kini tinggal 2 lagi persembahan yang ditunggu-tunggu untuk Persembahan Hari Inovasi a.k.a Akademi Fantasi JKM Pulau Pinang ya. Tanpa membuang masa lagi, kita saksikan persembahan ketujuh daripada Asrama Paya Terubong dengan nyanyian bertajuk ‘........................................................’

Begitulah tadi persembahan nyanyian daripada Asrama Paya Terubong. Hadirin sekalian, inilah istimewanya Hari inovasi, kita dapat saksikan bakat-bakat terpendam anggota kita ya. Macam-macam bakat yang ada.

Untuk cabutan bertuah seterusnya, majlis dengan sukacita menjemput Encik Khairul Amri bin Ahmad, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Timur Laut untuk membuat 5 cabutan nombor bertuah. Majlis mempersilakan.
(Mc umumkan cabutan bertuah dan jemput pemenang.)

Terima kasih diucapkan kepada Encik Khairul Amri di atas penyampaian hadiah cabutan nombor bertuah itu tadi.
Kini tibalah masanya untuk persembahan terakhir Hari Inovasi a.k.a Akademi Fantasia JKM Pulau Pinang. Saksikanlah persembahan bertajuk Ceritera SPT daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah. Dipersilakan!

Wah wah wah..Hebat-hebat sungguh persembahan rakan-rakan kita ni ya. Para hadirin sekalian, itulah persembahan yang terakhir bagi Persembahan Hari Inovasi a.k.a Akademi Fantasia JKM Pulau Pinang. Maka laksanakanlah tugas anda sebagai juri untuk menentukan siapakah pemenang bagi persembahan terbaik hari ini.
Pasti sukar untuk memilih ya kerana semua persembahan hebat-hebat belaka. Sila catatkan undian anda di kertas yang disediakan dan Jawatankuasa Persembahan akan mengumpulkan undian tersebut.

Para hadirin sekalian, majlis diteruskan lagi dengan cabutan nombor bertuah. Untuk itu, majlis menjemput Puan Rozita binti Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan Unit OKU untuk membuat 5 cabutan lagi. Majlis dengan hormatnya mempersilakan.
(Mc umumkan nombor cabutan bertuah dan jemput pemenang.)

Sementara menanti pengiraan undian , kita tenangkan diri dahulu dengan persembahan nyanyian daripada anggota kerja JKMNPP iaitu Encik Junaidi dan En. Rizal. Dipersilakan!
Begitulah tadi persembahan menarik daripada Encik Junaidi dan Encik Rizal. Sungguh berbakat sekali. Diharapkan para hadirin telah terhibur.

Para hadirin yang dihormati sekalian, majlis kini diteruskan dengan penyampaian anugerah terakhir. Dengan sukacitanya majlis menjemput Yang Berusaha Encik Zulkifli bin Ismail diiringi oleh Timbalan Pengarah ___ untuk menyempurnakan penyampaian anugerah seterusnya. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.
Hadirin yang dihormati sekalian, segmen penyampaian anugerah seterusnya ini adalah penyampaian penghargaan Jasamu Dikenang kepada anggota jabatan yang telah bersara. Dipersilakan penerima pertama..............................
Tahniah kepada penerima, Sesungguhnya jasa dan pengorbanan anda terhadap Jabatan adalah terlalu bernilai dan amat-amat dihargai.
Hadirin sekalian, Anugerah berikut merupakan Anugerah Khas Pengarah di mana undiannya telah dilakukan oleh anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang menerusi Kajian Tahunan Kepuasan Bekerja tahun 2011 baru-baru ini.

Berikut diumumkan Penerima Anugerah Khas Pengarah. Sila saksikan di layar.
(mc umumkan) ( 1-6 penerima)
Penerima Anugerah Khas Pengarah pertama ialah ............................................................. Dipersilakan Encik/Puan.......................................................... naik ke pentas untuk menerima anugerah. Dipersilakan..

Hadirin sekalian pastinya tidak sabar-sabar lagi untuk acara seterusnya iaitu 3 cabutan bertuah bagi Hadiah Utama ataupun Grand Prizes. Majlis mempersilakan Yang Berbahagia Pengarah untuk membuat 3 cabutan nombor. Dipersilakan.
Tahniah kepada para pemenang yang bertuah.

Hadirin sekalian, kini tibalah masanya untuk mengetahui keputusan Anugerah Persembahan Terbaik Hari Inovasi a.k.a Akademi Fantasia JKM Pulau Pinang. Hebat-hebat belaka ya persembahan tadi. Siapalah agaknya yang mendapat undian terbanyak. Diumumkan Pemenang Persembahan Terbaik jatuh kepadaaaaaaaaaa................................................

Tahniah kepada Pemenang Persembahan Terbaik Hari Inovasi a.k.a Akademi Fantasia JKM Pulau Pinang. Kepada yang tidak terpilih, janganlah berputus asa, tahun hadapan boleh mencuba lagi ya.

Hadirin sekalian, seterusnya adalah penyampaian Anugerah Perkhidmatan Kaunter Terbaik. Penerima anugerah ini ialah ............................................(MC umum nama dilayar)

Majlis merakamkan ucapan tahniah kepada para penerima anugerah. Semoga anugerah yang diterima dapat meningkatkan lagi motivasi dan prestasi kerja tuan-tuan dan puan-puan pada tahun-tahun mendatang. Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang di atas penyempurnaan penyampaian anugerah itu tadi. Semua penerima anugerah dijemput untuk bergambar kenangan dengan Pengarah di atas pentas.

Dengan ini maka berakhirlah sudah Majlis Sambutan Hari Inovasi peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang. Majlis merakamkan ribuan terima kasih kepada tetamu kehormat dan para hadirin yang sudi meluangkan masa bersama-sama bagi memeriahkan Majlis ini.

Dikesempatan ini juga, kami ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan silap sepanjang kami mengacarakan Majlis ini. Sebelum mengundur diri, izinkan kami berpantun,
Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Majlis hari ini jadi kenangan
Ulam pegaga tumbuh melata
Enak dimakan bersama cili
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali
Sekian salam hormat dan Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments: